Negarawan

Negarawan

Sunday 29 December 2013

RM 3.75 BILLION BUKAN JUMLAH YANG KECIL


Saya suka cara begini dilakukan. Letakkan sesuatu di tempat yang betul dan tepat. Biarkan para pegawai yang membuat pengumuman . Jika Datuk Seri Hishamuddin seorang yang percaya kepada pendekatan populis, pasti beliau sendiri akan menyampaikan berita besar ini.


Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ( JHEV )Angkatan Tentera Malaysia, Datuk Mohd Noor Daud mengumumkan Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM 3.75 b untuk menjaga kebajikan bekas tentera untuk tahun 2013.

Ini termasuk peruntukan persaraan dan perubatan bekas bekas tentera.
Perincian peruntukan adalah seperti berikut :-

1. Faedah persaraan                              RM 1.9 b
2. Kemudahan rawatan                         RM  56 juta
3. Pengurusan jenazah                          RM  2.3 juta
4. Sumbangan balu                                 RM   84 juta
5. Imbuhan sara hidup                           RM   7 juta
6. Bantuan persekolahan                       RM  1 juta
7. Sumbangan sambung belajar           RM  6.4 juta
8. Peralatan perubatan                          RM  250,000

Ini sebahagian daripada petanda keperihatinan kerajaan kepada bekas tentera kita yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanahair.

Ada banyak lagi yang telah dan akan terus dilakukan. Kadangkala saya fikir perkara begini perlu didedahkan kepada umum bagi menjawab pelbagai fitnah dan tohmahan.

Perkara perkara beginilah yang samada disedari atau tidak telah membolehkan kerajaan UMNO/BN terus bertahan.


Saya berasa kagum kepada DS Hishamuddin, tanpa banyak bercakap dan bermedia, beliau telah berjaya melakukan sesuatu yang amat baik. Secara kemanusiaan membantu bekas tentera dan keluarga mereka dan secara politik telah mengangkat imej Kerajaan UMNO/ BN.


Thursday 26 December 2013

SEMUA NEGERI DILANDA HUJAN, PERAK DILANDA KEMARAU !


Inilah rumusan teman teman samada yang aktif berpolitik mahupun pemerhati pasif.
Parlimen Bagan Datoh dan Tapah, Dewan Undangan Negeri Lubuk Merbau, Manong dan Rungkup sedang berada dalam keadaan tidak menentu.

Saya tidak berhasrat bahkan tidak mampu menelah apa yang akan berlaku sebenarnya kerana Mahkamah Pilihanraya akan membuat keputusan. Barangkali PRK akan berlaku.

Harapan kita yang mengasihi UMNO, biarlah keputusan berpihak kepada kita. Namun hakikatnya Kerajaan UMNO/BN yang ditohmah dengan pelbagai fitnah dan tohmahan tidak mungkin akan menentukan keputusan mahkamah. Mahkamah kita sebenarnya bebas daripada sebarang campurtangan kerajaan. Ironinya, Anwar Ibrahim telah berkali kali cuba mengganggu sistem kehakiman.

Apa yang ingin saya tekankan ialah betapa Kerajaan UMNO/ BN  wajib melaksanakan
segala janji pilihanraya sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum diisytiharkan. Kita tidak tahu apakah secara tiba tiba sesuatu berlaku dan PRK terpaksa diadakan.

Bukan hanya Kerajaan, UMNO juga tidak boleh begitu banyak bercuti. Saya mendengar terdapat banyak rombongan diadakan bagi meraikan kejayaan dalam pilihanraya namun yang terlibat hanya pemimpin cawangan dan Bahagian.

Malang pula ( sekiranya benar ), ada Wakil Rakyat UMNO belum benar benar memberikan perkhidmatan sejak selesai PRU 13. Rakyat serta merta membuat penilaian dan sudah tentu segera pula menghukum kerana kecewa.

Bayangkan bagaimana juru kempen, Jalinan Rakyat, penceramah mahu berkempen dan meminta pengundi mengundi UMNO/BN dengan slogan Rakyat di Dahulukan sedangkan hakikatnya rakyat tidak gembira ?

Bagaimana Pak Tam, Mak Cik Leha, Nenek Tom harus diterangkan tentang penyusunan semula subsidi ? Bagaimana Chu Khalid, Tok Moh Harun mahu dijelaskan tentang kejayaan Kerajaan UMNO mengangkat tahap ekonomi sedangkan kehidupan rasanya semakin sukar ?

Inilah antara kepanasan Perak akhir akhir ini. Mungkin ada pakar dari puncak menara gading akan diturunkan ke kampung kampung untuk membantu UMNO.
Namun tentunya para pendeta belum tentu mampu meranduk semak samun hujung kampung.

Saya yakin pemimpin parti yang baru dipilih ada jawapan kepada segala kerisauan ini. Silap dalam mencatur, Perak mungkin beralih angin...


Sunday 22 December 2013

TONY PUA SAKIT HATI MEMBACA CERITA INI !


Satu ketika DAP pernah menyarankan keanggotaan Angkatan Tentera Malaysia dikurangkan. Kali kedua DAP mencadangkan agar istilah MELAYU pada Askar Melayu Di Raja ditiadakan sebagai menghormati konsep 1 Malaysia.

Sebenarnya DAP tahu dengan pasti, Pasukan Tentera Malaysia adalah aset kerajaan yang amat berharga. Ketaatan mereka kepada Yang DiPertuan Agung tiada siapapun boleh nafikan. Ini bermakna tiada cara lain bagi menggantikan kerajaan selain demokrasi.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan sesuatu yang mungkin menambahkan luka DAP!

Baca di sini...


Tentera bukan parti politik. Mereka kakitangan kerajaan yang setia berjuang demi agama, bangsa dan tanahair. Mereka tidak akan terganggu dengan tohmah dan retorik politik.

Mereka berada di mana mana medan mereka diperlukan. Saya dengar mereka amat cemerlang dalam membantu mangsa banjir baru baru ini. Dan saya amat yakin mereka akan terus cemerlang di bawah pemimpin yang menghargai mereka.

Dalam masa yang sama, sekalung tahniah kita ucapkan kepada YB Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Pertahanan kerana kejayaannya memimpin pasukan yang amat penting ini.


Saturday 21 December 2013

JANGAN SALAHKAN RAFIZI KERANA DIA BIJAK


Minggu ini sahaja Rafizi Ramli, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat ( PKR ), tampil dengan dua berita besar. Peguam Negara terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah serta Kerajaan telah menghabiskan 5.6 bilion ringgit untuk tujuan yang tidak menguntungkan.

                                       Kenangan indah Rafizi bersama Anwar Ibrahim

Maka bersuaralah pelbagai pihak khasnya NGO mengkritik Rafizi, mengatakan Rafizi berbohong. Kenyataan Rafizi disiarkan di dalam Malaysian Insider, dipetik oleh blog blog pembangkang.

Manakala kritikan terhadap beliau dan tuduhan beliau berbohong tersiar dalam Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia. Kita boleh bayangkan bagaimana berkesannya strategi yang digunakan oleh Rafizi. Usah berbincang tentang benar atau bohong. Ini tidak penting. Yang penting persepsi telah berjaya diwujudkan.

                                                             Anak didik...

Saya mengesan keberanian Rafizi mengeluarkan berita fitnah ini adalah disebabkan kegagalan pihak yang difitnah membezakan antara ' isu undang undang dan isu politik '. Pembangkang lebih bijak menggunakan undang undang dan mahkamah untuk menutup mulut pihak lawan.

Rafizi tahu dan pernah berlakupun, tokoh politik UMNO ( entah mengapa ), tidak akan menyaman beliau. Begitu juga pemimpin kanan kerajaan. Rafizi mempunyai kaedah supaya tidak disaman.

Kadangkala kita sendiri menjadi ' hampir percaya ' kepada apa yang Rafizi katakan.
Kita menunggu Rafizi disaman, akhirnya ia tidak berlaku. Rafizi tampil pula dengan 
'perkara ' baru sedangkan perkara lama yang ditimbulkannya telah tertanam dalam kepercayaan rakyat.

Saya yakin perkara ini akan berlarutan hinggalah menjelang PRU 14. Pada ketika itu rakyat Malaysia sudah yakin bahawa segala yang Rafizi katakan adalah benar belaka!


Wednesday 18 December 2013

KENAPA SHAH ALAM ? APA KHALID SAMAD BUAT ?


Sebelum ini kita sudah mendengar usaha usaha menyebarkan Agama Kristian giat dijalankan. Tetapi usaha usaha ini digerakkan di kawasan luar bandar atau pedalaman. Penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak jadi fokus kumpulan ini.

Kemudian kita juga mendengar usaha Kristianisasi ini dilakukan secara sulit khasnya kepada remaja yang bermasalah dan bergelandangan.

Hari ini akhbar melaporkan gerakan menyebarkan Kristian ini sudah mula dilakukan secara terbuka di Shah Alam. Kumpulan ini dikatakan diketuai oleh seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat dan fasih berbahasa Melayu.

Maka kita tertanya tanya mengapa Shah Alam menjadi tumpuan mereka ?

Saya percaya kumpulan ini mensasarkan Shah Alam kerana di sini letaknya Pusat Pengajian Tinggi yang penuntutnya  terdiri daripada Orang Melayu Islam. Mereka percaya anak anak yang baru terpisah dengan keluarga ini mudah digoda untuk bersama dengan mereka.

Kumpulan ini dikatakan mula bergerak pada awal tahun ini dan terlebih dahulu membina hubungan dengan kumpulan sasaran mereka. Kemudian mereka akan menghadiahkan sasaran mereka dengan buku dan makalah yang turut menggunakan kalimah ALLAH sebagai Tuhan.

Maka saya ingin bertanya kepada Ahli Parlimen PAS yang mewakili Shah Alam, YB Khalid Samad..adakah beliau sedar bahaya besar yang sedang melanda umat Islam di Shah Alam? Tidakkah beliau bimbang, sebagai pemimpin di Shah Alam yang menjadikan Islam ( kononnya ) sebagai matlamat, Islam sedang diceroboh secara terbuka?

Atau mungkinkah Khalid menganggap ini sebahagian daripada liberalisme yang sedang diperjuangkan oleh kalangan tertentu ?


                Kristian sedang bertapak di kawasannya. Apa tindakan Khalid ?



Tuesday 17 December 2013

NOTA KEPADA ROSMAH MANSOR


Beberapa Blog teman teman semalam menyiarkan kenyataan Datuk Paduka Rosmah Mansor yang merupakan jawapan kepada pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilemparkan barangkali oleh pembangkang dan menjadi bualan umum.

Baca di sini...


Saya bersimpati. Kadang kala saya sendiri merasakan betapa ' melampaunya' tohmahan yang dilemparkan. Saya harap Rosmah dapat bersabar mendepani segala yang berlaku ini.

Dalam masa yang sama, saya ingin memberikan pandangan. Kalaulah ada sesiapa yang dapat menyampaikan pandangan ini kepada Rosmah...

Sebahagian daripada penjelasan yang diberikan oleh Rosmah semalam hakikatnya bukan menjawab keseluruhan harapan rakyat. Ada lagi yang rakyat mahukan yang barangkali tidak sampai kepada Rosmah. Rakyat mahu misalnya Rosmah menutup aurat. Maaf, ada orang berpandangan ini amat peribadi tetapi  menjadi isteri PM menyebabkan tidak banyak perkara menjadi persoalan  peribadi.

Dalam pada DS Najib kelihatan amat cenderung kepada Islam ( dengan menjemput Ustaz Kazim sbg contoh ), alangkah baiknya jika Rosmah dapat menyelesaikan kewajipan asas ini.

Isu yang tidak boleh dihujah...

Rosmah juga boleh menyumbang di belakang tabir. Jadikan Dr Siti Hasmah sebagai contoh. Umum menyedari Siti Hasmah amat dominan di sebalik pencapaian cemerlang Dr Mahathir. Apabila Rosmah Mansor begitu ke depan, maka mudah kelemahan ' dicipta ' oleh musuh.

Bayangkan dalam Bajet Negara, peruntukan diberikan khusus untuk Program Permata yang dikatakan sebagai program Rosmah. Ada baiknya barangkali, tapi ianya di luar kebiasaan. Mungkin Rosmah boleh jadi ' penaung lantikan ' bukan peneraju program berkenaan.

Sebagai langkah selamat, mungkin Rosmah tidak begitu mesra media. Umum sebenarnya tahu sebagai isteri Perdana Menteri , Rosmah adalah tulang belakang DS Najib. Kadangkala publisiti mendedahkan Rosmah kepada tohmahan.

Banyak lagi yang boleh dibincangkan namun saya ingin membuat rumusan. Kita tidak boleh mengubah arah angin bertiup tetapi kita boleh sesuaikan layar kapal kita untuk pastikan kita tidak tersasar daripada tujuan kita.


Monday 16 December 2013

TOKOH ' LAMBAI ' NI MACAM DAH TAK WUJUD YER..?



Tiba tiba saya teringat kepada DS Nizar Jamaluddin. Diberitakan baru baru ini YB Nizar ditegur di dalam DUN Perak kerana mentafsir secara salah ayat Al Quran. Teguran dibuat oleh YB Manjoi dan Nizar dikatakan langsung tidak memberikan sebarang respond.

Saya juga mendengar cerita daripada rakan rakan dalam PAS Perak betapa Nizar sebenarnya sedang mengalami zaman kejatuhan, benarkah ?




Saturday 14 December 2013

SEJARAH PAK LAH AKAN BERULANG !


Saya pasti . Tanda tandanya telah mula kelihatan.

1. Datuk Seri ( DS ) Najib tidak peduli. Walaupun di mulutnya sentiasa menyebut rakyat di hatinya namun hakikatnya DS Najib tidak peduli perasaan rakyat. Rakyat sedang kecewa, marah dan akhirnya akan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

Kenaikan harga barang, kenaikan tarif elektrik dan terbaru kenaikan kadar tol. Semua ini adalah beban berat yang dipaksakan ke atas rakyat.

Sangat memualkan bila justifikasi begini diberikan, ' Tidak adil untuk terus memberikan subsidi sedangkan orang luar bandar tidak menggunakan lebuhraya'.

Mari kita bercakap di luar kebijaksanaan ekonomi. Orang luar bandar umumnya orang tua. Anak anak mereka bekerja di bandar. Bila kadar tol naik, mereka pasti terjejas. Jika sebelum ini mereka balik ke kampung menjenguk ibu bapa 3 kali setahun, kini mereka terpaksa balik sekali setahun.

Kenderaan perdagangan akan melalui tol. Apabila kadar tol naik 10 sen sekilometer ( katakan ), mereka akan naikkan harga beras 50 sen sekilogram. Begitu juga barangan lain. Tidakkan nanti orang kampung juga terjejas.

2. Sejak memegang tampuk kuasa, orang ramai bercakap tentang kuasa orang orang sekeliling yang amat DS kasihi. Rosmah Mansur, Omar Ong,Khalid Mohd, Sahlan Ismail dan ramai lagi. Mereka ( sekurang kurangnya ) dilihat amat berkuasa. Bayangkan jika Rosmah mempunyai bajetnya sendiri ?

Khalid Mohd, Sahlan Ismail dikaitkan dengan manipulasi peruntukan pilihanraya yang sangat besar sedangkan kualiti penyampaian tidak sehebat mana. Omar Ong menguasai Petronas sehingga Tun Mahathir terkilan dan meletak jawatan. Semua ini bukan tidak benar tetapi inilah persepsinya.

3.  Pemilihan calon PRU 13. Saya fikir UMNO bertahan bukan kerana rakyat mahukan UMNO. Tetapi umat Melayu ' takut ' kepada pembangkang. Ketakutan ini tak kan kekal. Percayalah, bila Umat Melayu rasa berada di bawah UMNO bukan lagi ' selamat ' maka Umat Melayu akan mencari payung lain. 

Nampaknya pembangkang amat bijak mengangguk di air keruh. Mereka datang menawarkan ubat sewaktu rakyat sedang derita kesakitan. 

4.  DS gagal meletakkan UMNO di atas landasan yang tepat. UMNO silap fokus. Bila UMNO memilih untuk menjadi popular dan populariti ini pula
' tersandar ' di bahu seseorang, saya fikir UMNO hanya syok sendiri.

Untuk pengetahuan DS, DAP sedang mara. Mereka memindahkan pengundi. Mereka mendaftar pengundi baru termasuk anak Melayu.
Jangan lupa DS, Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang adalah seorang anak gadis jelita Melayu yang bijaksana.

Maafkan saya DS. Kita telah sampai ke penghujung 2013. Saya ingin katakan DS telah gagal memilih pegawai dan penasihat. Oleh sebab itu, DS sentiasa gagal memahami perasaan sebenar rakyat terbanyak. Penasihat dan pegawai DS sentiasa ' menghidangkan wangi wangian sedangkan sebenarnya ada racun yang tersembunyi '.

DS, saya ingin bercakap benar, saya fikir jika keadaan tidak dikawal, sejarah Pak Lah mungkin akan berulang.


      Tidakkah Dyana ini menjadi ancaman kepada UMNO ?


Thursday 12 December 2013

KP JPJ MENYELAM DALAM BANJIR DI PAHANG !




Ini berita yang rakyat bangga mendengarnya. Kementerian dan Jabatan Kerajaan sama sama merasai denyut nadi rakyat. Sebelum ini kita dengar tentang bagaimana hebatnya sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) dalam membantu mangsa banjir.

Malam ini kita dengar pula berita yang pasti melegakan mangsa mangsa banjir. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ), Datuk Ismail Ahmad malam ini mengumumkan semua dokumen berkaitan JPJ seperti lesen memandu, cukai jalan dan geran kenderaan yang musnah dalam banjir di Terengganu, Pahang, Johor dan Kelantan boleh diperbaharui secara percuma di mana mana Pejabat JPJ.

Mangsa hanya perlu membuat laporan polis dan membawa laporan tersebut ke Pejabat JPJ sebagai dokumen sokongan.

Maknanya usah lagi kita berfikir betapa JPJ ini hanya menyaman dan menguatkuasakan undang undang semata mata. Pada masa yang perlu mereka juga mampu menyelami hati dan memahami kesukaran rakyat.

Ironinya, samada ATM mahupun JPJ , kedua duanya dipimpin oleh Menteri yang sama, Datuk Seri Hishamuddin bin Hussein. 


Wednesday 11 December 2013

P. RAMLEE DAH LAMA BERI AMARAN , LEBAI NI MEMANG PENIPU! " KOPI O SATE ! "


Tengok ni...



Kemudian baca ini pula...di sini

Untuk berlaku adil, artikel ini dipetik daripada Malaysiakini. Kenyataan dikeluarkan oleh Prof Aziz Bari, penyokong tegar pembangkang.

Mari kita buat kesimpulan. Hudud selamanya alat dan perkakas PAS untuk menawan pengundi Melayu. Orang Melayu selamanya tertipu dengan pesona lebai dan serban PAS.


MAAF, SAYA BUKAN ANTI ZAHID TAPI TINDAKANNYA TIDAK TEPAT !!


Betul..saya amat menghormati Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib 
Presiden UMNO yang juga Menteri Dalam Negeri. Keputusan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri biasanya membanggakan kita sebagai rakyat khasnya ahli UMNO.



Tetapi tindakan beliau mengisytiharkan ' org No. 2 PAS ' sebagai penganut Syiah dalam Perhimpunan Agung UMNO saya lihat sebagai tindakan populis yang barangkali ' menghangatkan tetapi tidak menguntungkan '.

Tindakannya memberi ' kuasa ' kepada Datuk Jamil Khir bagi menangani isu ini adalah sesuatu yang janggal. Yang boleh memberi kuasa kepada mana mana Menteri hanya Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Malangnya dalam sistem kita tiada Naib Menteri.




Mat Sabu tidak terjejas. Tokoh ini ' tiada malu' dalam hidupnya. Yang sedang bekerja keras, Datuk Jamil Khir. Bahkan beliau agak berundur sedikit apabila mengaku sukar untuk mengaitkan seseorang dengan Syiah kerana kesukaran mendapatkan bukti.

Terkini Datuk Zahid mengatakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pula akan lakukan pendedahan rasmi. Tidakmengapalah.

Saya harap memang benar segala bukti telah ada dan kukuh. Saya harap Mat Sabu akan didakwa, dibicarakan dan dihukum. Datuk Zahid bercakap sesuatu yang besar, melibatkan orang besar dalam medan yang amat besar.

Jika tiada apa apa berlaku selepas ini, bukan hanya Zahid bahkan UMNO akan dapat malu besar !


Monday 9 December 2013

ABBY ABADI BERTUNGKUS LUMUS MEMBANTU MANGSA BANJIR !

Laporan Harakahdaily kononnya ustazah Abby Abadi bertungkus lumus membantu mangsa banjir. Jangkaan saya tentulah begini keadaannya...


Atau begini...

Rupanya...









Betul kata Ustaz Kazim, baru ikut ceramah, baru pakai tudung belum tentu lagi individu tu takut melakukan dosa...sebab itu usah takbur dan cepat jatuh hukum pada orang. Menipu ni berdosa besar...

Sunday 8 December 2013

LEMBEK DARI KATIL HOSPITAL...


Semalam perhimpunan terbesar UMNO bagi tahun 2013 telah berakhir. Rata rata bersetuju bahawa ada peningkatan dalam banyak perkara berlaku. Pengurusan persidangan, kemudahan bagi petugas media dan layanan kepada pemerhati juga dikatakan antara yang terbaik setakat ini.

Satu perkara lagi ialah kualiti pembahas dan isi perbahasan mereka. Boleh dikatakan perbahasan kali ini lebih serius dan para pembahas berani mengemukakan isu isu yang selama ini menjadi bebanan kepada rakyat. Sekurang kurangnya budaya ampu dan bodek telah semakin terhakis.

Di sebalik kejayaan ini, UMNO sewajarnya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi JK Usul yang bertungkus lumus membuat perancangan dan persediaan yang amat rapi sehingga hasilnya dapat kita lihat.

Agak malang, orang yang mengepalai usaha ini iaitu DS Hishamuddin Tun Hussein tidak dapat bersama menyaksikan hasil usahanya dijayakan oleh para pembahas. 
Kita semua maklum beliau terpaksa berada di hospital kerana masalah jantung dan berada di bawah pemerhatian doktor.

Sesuatu yang tidak dihebahkan tetapi menarik untuk kita jadikan renungan ialah DS Hishamuddin selaku Menteri Pertahanan rupanya tidak bercuti sama sekali. Beliau telah mengarahkan agar segala kekuatan dan kemudahan yang Angkatan Tentera kita ada digerakkan sepenuhnya bagi membantu mangsa banjir di negeri negeri yang dilanda musibah ini.



2129 anggota
58 bot
13 trak TATRA ( 7 tan )
16 trak ( 3 tan )
1 ambulans medan
8 helikopter
24 pasukan perubatan

Di samping kekuatan yang dinyatakan di atas, sebuah jambatan telah sedia untuk dipasang oleh Kor Jurutera, ATM bagi merentangi Sungai Limbungan bagi menggantikan jambatan sedia ada yang runtuh.

Hishamuddin juga diberitakan telah mengarahkan timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri untuk turun ke lapangan bagi memantau keadaan dan melaksanakan sebarang tindakan segera yang perlu.

Saya bukan pentaksub Hishamuddin, cuma sesekali saya ingin bertanya penggelar, pemfitnah dan siapa juga yang sebelum ini menggelar Hishamuddin dengan pelbagai gelaran yang melukakan hati, jika ' kita 'berada dalam kedudukan Hishamuddin sekarang, adakah kita MAMPU BERKHIDMAT sepertinya...?

                                                         

Thursday 5 December 2013

JANGAN SALAHKAN PUCUK PIMPINAN SEMATA MATA !






Terserah kepada Perwakilan dan pembahas. Segalanya telah disediakan. Rakyat khasnya Umat Melayu sedang menunggu. Tersasar sekali ini, padah menanti UMNO.

Tuesday 3 December 2013

MEMBARA !! AHMAD MASLAN, BERHENTILAH BOMBASTIK !!


Kita mengenali Ahmad Maslan ialah Ketua Penerangan UMNO. Beliau juga adalah Timbalan Menteri Kewangan. Sebab itu bila bercakap, Ahmad Maslan wajar mengurangkan kenyataan ' politik populis ' sebaliknya lebih mesra rakyat marhain yang merupakan pengundi terbesar UMNO.

Petikan Utusan Malaysia

Kuala Lumpur 3 Disember- Mulai 1 Januari 2014, golongan berpendapatan sederhana dan miskin di seluruh negara akan menjadi kumpulan sasar bagi program terbaharu UMNO, Membantu Rakyat ( Membara ), yang diyakini lebih menepati objektif UMNO dalam menjuarai isu rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata , Membara yang menggantikan program terdahulu, Jiwa Rakyat akan diuruskan oleh Biro Penerangan UMNO dan dikendalikan di semua 191 bahagian UMNO.

Contohnya pada Januari kita tetapkan semua Bahagian UMNO beri bantuan bag sekolah kepada anak anak terpilih, Februari diadakan seminar, Mac pula diadakan futsal dan bolajaring.

Pada pertengahan tahun hadapan, kita akan buat kajian apakah program patut diperbaharui atau sebaliknya.

Saya menjadi keliru. Apakah sebenarnya yang mahu dicapai melalui program Membara ini? Kenapa ia dikatakan mahu membantu ' golongan sederhana dan miskin '? Tahukah Datuk Ahmad Maslan apa sebenarnya masalah rakyat ?

Saya jadi bimbang, UMNO hilang fokus. Janji yang ditabur banyak tetapi tidak upaya dipenuhi. Apakah dengan hanya memberikan beg sekolah, menganjurkan pertandingan futsal dan bolajaring, maka rakyat miskin dan sederhana telah dibantu?

Saya harap sempena Perhimpunan Agung ini, UMNO akan lebih analatikal, melihat sesuatu dengan terperinci dan tepat.

Doktor yang silap memberi ubat, pesakit mungkin kehilangan nyawa. Jika UMNO silap mentafsir keperluan, UMNO mungkin berkubur...


Monday 2 December 2013

NAJIB BATALKAN KENAIKAN TARIF ELEKTRIK ! ALHAMDULILLAH...


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan agar kenaikan tarif elektrik sebanyak 15% mulai 1 Januari 2013 dibatalkan.

Ini adalah kerana beliau tidak mahu rakyat terus dibebani dengan pelbagai kenaikan yang beliau fikir tidak sepatutnya berlaku.

Inilah yang rakyat mahu dengar. Tambahan pula menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok. Tapi saya tidak fikir itu akan berlaku. Hakikatnya sebagai Perdana Menteri Najib telah diberitahu dan bersetuju dengan kenaikan ini.

Inilah yang mengecewakan. Selepas PRU 13, dalam pada Kerajaan khasnya Najib nampak begitu terhutang budi kepada rakyat, pelbagai bebanan telah dipaksakan kepada rakyat.

Kenaikan harga minyak, gula dan sekarang elektrik hakikatnya akan membawa naik harga semua barangan lain. Selepas kenaikan harga gula sebanyak 10 sen, harga milo ais telah naik sebanyak 50 sen segelas.

Begitu juga dengan barangan lain. Saya kesal kerana Najib dan kerajaan semacam sengaja mencabar rakyat, seakan akan mahu memberitahu rakyat bahawa aku yang berkuasa. Aku boleh buat apa saja yang aku mahu.

Berilah rasional dan justifikasi. Hakikatnya rakyat telah benar benar berasa letih dan patah hati, termasuk pendukung dan penyokong setia selama ini...