Negarawan

Negarawan

Saturday 19 July 2014

MH 17- ELAKKAN SPEKULASI, INI ADALAH KERJA PENJENAYAH !

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyangkal dakwaan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di Ukraine kerana menggunakan laluan larangan.

Beliau berkata, laluan sama telah digunakan oleh beberapa pesawat syarikat penerbangan lain, dan "spekulasi mengatakan pesawat MH17 telah menggunakan laluan yang menjadi kawasan larangan adalah tidak benar."
    
"Saya boleh sahkan bahawa laluan yang digunakan pesawat MH17 itu bukanlah ruang angkasa yang tidak dibenarkan oleh negara terbabit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini.
    
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat ke istiadat tersebut.
    
Hishammuddin berkata, beliau difahamkan beberapa pesawat MAS serta penerbangan lain termasuk Thai Airways dan Pakistan International Airlines telah menggunakan lalulan sama selepas insiden tersebut.
    
"(Oleh itu) masalah laluan salah yang dihebahkan tidak boleh diterima," tegasnya.

Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
    
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu ditembak jatuh.
    
Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) pada Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada Jumaat.
    
Hishammuddin berkata Malaysia komited untuk bawa pesalah ke muka pengadilan jika benar pesawat MH17 ditembak jatuh.
    
"Kita akan buat apa sahaja untuk memastikan penjenayah yang bertanggungjawab itu akan dibawa ke muka pengadilan. Buat masa ni, penting untuk kita pastikan bahawa tidak ada tuduhan sebelum mendapat jawapan yang tepat," katanya.
    
Dalam pada itu, Hishammuddin meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran sebarang spekulasi yang akan menjejaskan kelancaran penyiasatan tragedi tersebut.
    
"Apa sahaja perkara yang timbul perlu mendapat pengesahan. Yang penting kita ikut prosedur telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan saya percaya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai," katanya.
    
Ditanya tentang bantuan logistik, beliau berkata kementerian tidak dapat membuat sebarang keputusan selagi siasatan masih dijalankan dan akan menghantar sebarang keperluan yang diperlukan kelak. - Bernama

1 comment:

  1. Jelas pendirian kerajaan. Ikut prosedur, jaga hati semua pihak terlibat.

    ReplyDelete