“Saya hanya boleh jawab bagi pihak diri saya sendiri dan saya tidak pernah hantar surat kepada FBI,” katanya ringkas.
Hishammuddin ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Perutusan Khas Perdana Menteri Tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru itu bahawa Menteri-Menteri Dalam Negeri sebelum ini turut mengeluarkan surat penje­lasan.
Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan kuasa yang ada pada menteri, beliau menandatangani surat itu dan Menteri-Menteri Dalam Negeri sebelumnya juga berbuat demikian.

Kenyataan Ahmad Zahid itu merujuk kepada satu surat yang dihantar olehnya kepada FBI pada Disember tahun lalu berhubung status Wei Seng Phua (Paul Phua) yang sedang menghadapi pertuduhan menganjur perjudian haram di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dalam sidang akhbar yang sama Ahmad Zahid menjelaskan bahawa suratnya kepada FBI bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Phua sebaliknya surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano pada 18 Disember tahun lepas itu adalah untuk menjelaskan status individu berkenaan.

Kata Ahmad Zahid, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, beliau menjelaskan bahawa kumpulan kongsi gelap 14K Triad tidak wujud di Malaysia dan Paul bukanlah anggota kumpulan kongsi gelap itu di Malaysia.