Menurut laporan portal berita Mail Online, kejadian berkenaan ber­­laku di pangsapuri di Obninsk, wilayah Kaluga, apabila kucing yang diberi nama Marsha itu memanjat kotak berisi bayi lelaki tersebut dan memanaskan badan bayi itu selama beberapa jam dengan menjilat muka bayi itu.
Beberapa penduduk pangsapuri itu hanya menyedari kejadian tersebut apabila mendengar bunyi kucing seolah-olah sedang meminta bantuan dan tangisan bayi tersebut.
Penduduk pangsapuri itu, Nadezhda Makhovikova berkata, dia turun ke tangga apabila terdengar bunyi kucing sebelum terkejut melihat bayi lelaki itu menangis kesejukan.
Nadezhda kemudian menghu­bu­ngi pihak hospital untuk mengambil bayi berkenaan, dan kucing betina itu kemudian melarikan diri sebaik-baik kakitangan perubatan tiba di lokasi kejadian.
Seorang kakitangan hospital, Vera Ivanina berkata, kucing tersebut kelihatan bimbang apabila mereka mahu mengambil bayi berkenaan dan sempat mengekori paramedik itu sehingga ke ambulans.
“Bayi berusia antara dua dan tiga bulan itu berada dalam keadaan sihat walaupun terdedah kepada cuaca sejuk selama beberapa jam.
“Terima kasih kepada Marsha kerana menjaga bayi tersebut daripada mati akibat kesejukan,” katanya.
Ekoran kejadian itu, penduduk pangsapuri berkenaan melayan Marsha seperti hero dengan memberikannya makanan, manakala pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari ibu bapa bayi lelaki itu yang kini dijaga oleh pihak hospital.- Utusan Malaysia