Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim, Kedah bukanlah satu pembaziran berbanding terowong di Pulau Pinang, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz berkata lapangan terbang baru itu bakal menjadi pintu masuk ke negeri di utara Malaysia dan selatan Thailand.
Mukhriz berkata, kawasan pulau mempunyai keluasan tanah terhad dan hanya sesuai untuk pembinaan kawasan pelabuhan, dan bukannya lapangan terbang memandangkan persekitaran pulau dikelilingi air.
"Berbeza dengan pelabuhan kapal, perlu di pesisir pantai, tetapi kapal terbang akan mendarat di lapangan terbang. Apa guna kita bina lapangan terbang di pulau yang terbatas dari segi tanah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Pesta Kedah di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Mukhriz berkata, lapangan terbang yang dicadangkannya itu mampu menampung kapasiti lapangan terbang di Pulau Pinang yang dijangka sesak menjelang tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Lapangan terbang itu boleh menjadi pintu masuk bagi zon utara, yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, untuk tujuan penumpang dan kargo.
"Malangnya lapangan terbang antarabangsa di Kedah hanya di Langkawi, ia hanya tertumpu kepada pelancong dan tidak banyak kargo dan penumpang," katanya.
"Perlu ada lapangan terbang serantau, dan saya cadangkan di Kedah dan bukannya Pulau Pinang," tambah Mukhriz.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini berkata, pembinaan sebuah lagi lapangan terbang antarabangsa di Kedah merupakan satu pembaziran.
Lim turut berkata, sekiranya Putrajaya meluluskan pembinaan lapangan terbang di Kedah, Pulau Pinang mahu sekurang-kurangnya dua lapangan terbang sama.
"Perlu diingatkan Pulau Pinang adalah penerima pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di Malaysia, dengan jumlah RM19.7 bilion dari 2010 hingga 2013, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Lim.
Mukhriz sebelum ini mencadangkan pembinaan lapangan terbang ketiga di Kedah selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, sekiranya diluluskan.
"Kalau ikutkan, dahulu, mereka kata pembinaan Jambatan Pulau Pinang sebagai membazir, sekarang nak cadang satu terowong pula.
"Pada pandangan saya terowong lebih membazir dari lapangan terbang, seluruh rantau utara Malaysia boleh gunakan," kata Mukhriz membidas kenyataan Lim.
Mukhriz berkata, lapangan terbang tersebut akan dibina di atas tapak seluas 6,000 hektar dan boleh dilengkapi dua landasan.
Menurutnya, rancangan pembinaan lapangan terbang itu masih di peringkat awal dan kertas cadangan berkenaan perkara itu sudah diserah kepada Najib.
"Ia diletakkan di sempadan Sungai Petani dan Kulim, jika ada lebuh raya yang kini berada dalam perancangan, tapak lapangan terbang akan terletak hanya 25 minit dari Taman Teknologi Kulim," kata Mukhriz. – 14 Jun, 2014.
Ulasan
Ringkas, tepat dan bermakna. Tak perlu retorik, tak perlu bermain dengan bahasa.
Saya fikir Lim Guan Eng sedar dengan siapa beliau berurusan.
Aku suka cara Mukhriz ni. Sederhana , tenang, tak dak kelam kelibut.
ReplyDelete