Saya tidak faham kenapa Datuk Hassan Malek boleh buat kenyataan ini.          ( Di bawah ). Sebelum GST pun barang barang sedang naik harga sekarang. Saya tak dapat nak senaraikan sebab banyak sangat barang yang naik harga.

Saya ingin maklumkan kepada Datuk Seri Hassan Malek, pembekal dan peniaga tak peduli samada Kerajaan benarkan atau tidak kenaikan harga barang. Mereka memang mahu menjatuhkan Kerajaan dan saya percaya jika tidak dikawal, Kerajaan akan menghadapi masalah.

Kalau KPDNKK ' sentiasa ' berhubung dengan pembekal dan peniaga maka saya yakin, KPDNKK akan 'sentiasa' kena tipu. Bertemulah dengan rakyat, baru dapat maklumat yang tepat. Ambil langkah pencegahan dan hukum mana mana pihak yang melanggar arahan kerajaan...

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan barang-barang selain keperluan harian tidak akan mengalami kenaikan apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kerajaan tidak akan membenarkan pembekal dan peniaga menaikkan harga kerana ia akan membebankan pengguna.

Menurutnya, sebagai pihak yang bertanggungjawab, KPDNKK akan sentiasa berhubung dengan pembekal untuk memastikan perkara sedemikian tidak berlaku.

"Saya akan berjumpa sendiri dengan semua pembekal ternakan, perladangan dan industri untuk melihat laporan mereka.

"Menerusi perjumpaan bulanan ini, kita akan dapat mengetahui masalah dan juga memastikan pembekal tidak akan mengambil kesempatan," katanya.

Hasan diminta mengulas mengenai keluhan rakyat mengenai harga seperti pakaian, makanan dan perkhidmatan yang dibimbangi akan mengalami kenaikan apabila GST mula dilaksanakan .

"Pengguna tidak perlu bimbang kerana GST dibuat di atas kepentingan rakyat. KPDNKK juga sentiasa membuat pemantauan terhadap apa sahaja isu melibatkan pengguna.


"Pengguna perlu bijak dan jika berlaku apa-apa seperti kenaikan harga, barang tidak cukup boleh berhubung terus dengan pihak kita," katanya.

Ketika ditanya mengenai adakah kemungkinan petrol dan diesel akan dikenakan GST, Hasan berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Banyak perkara perlu diperhalusi sebelum keputusan dibuat. Saya percaya Kementerian Kewangan akan membentangkan isu ini apabila sampai masanya.

"Perkara ini  pasti memerlukan penelitian terperinci dan saya harap semua pihak perlu percaya pada kerajaan," katanya.- Sumber