Negarawan

Negarawan

Monday 25 November 2013

MUKTAMAR PAS DAN CABARAN BESAR UMNO MENGHADAPI PRU 14.


Muktamar PAS telah selesai. Apapun keputusan yang telah perwakilan lakukan, seteruk manapun kebolehan mereka melaksanakan proses pemilihan tidak lagi menjadi isu atau perbualan.

Yang pasti PAS telah bertukar wajah dan roh perjuangan. Kebergantungan kepada para ulama dan ahli agama telah tidak berlaku sebaliknya PAS lebih selesa melakukan perubahan yang saya percaya akan merubah juga kaedah dan pendekatannya selepas ini.

PAS dipimpin oleh gabungan profesional yang mesra pengundi. Sebahagian daripada pimpinan PAS adalah ahli profesional yang rapat dengan pergerakan mahasiswa sewaktu mereka berada di universiti.

Sedikit sebanyak mereka mewakili golongan pertengahan Melayu yang pada tahun 2018 ( PRU 14 ) merupakan pengundi teramai. Jika mereka mengetuai sebuah syarikat atau satu jabatan, maknanya mereka mengetuai sekumpulan pengundi pada PRU 14.

Jika mereka bersahabat dengan seorang Pengetua atau Guru Besar, Pengetua dan Guru Besar ini mengetuai puluhan orang guru dan kakitangan. Mereka juga mungkin JK penduduk, JK Surau dan Masjid. Mereka mungkin menjuarai masyarakat.

Maksud saya pimpinan PAS di semua peringkat mempunyai ' jaringan ' yang luas dan berkesan dalam kelompok masyarakat.

Saya juga mendapati, penyokong PAS tidak terganggu dengan ucapan perwakilan yang di mata kita semacam menghentam pimpinan mereka sebaliknya mereka bangga dengan ketelusan, keberanian dan sikap berlapang dada yang ditonjolkan.

Konsert heavy metal yang kita jangka akan menjadi ombak pada hari terakhir muktamar sebaliknya menjadi penanda aras tentang keterbukaan PAS. 

Inilah antara ancaman yang UMNO wajib perhatikan. Sikap inklusif yang mulanya menjadi modal UMNO nampaknya telah berjaya diciplak oleh PAS dan saya bimbang mereka dapat melaksanakannya dengan lebih baik lagi.

Kalau dulu PAS agak konservatif dan tertutup, kini sebahagian besar pimpinan PAS boleh berbahasa Inggeris dengan baik ( yang jadi modal hubungan dgn bukan Melayu ).

Nampak macam elemen kecil tapi maknanya sangat besar.

Persoalanya sekarang, adakah UMNO yang akan bersidang beberapa hari lagi bersedia dengan perancangan strategik untuk menghadapi PRU 14? Atau adakah UMNO fikir bahawa PRU 14 masih jauh ?


Thursday 21 November 2013

PEMBANGKANG MENGALAH KEPADA NAJIB !


Lawatan kali pertama Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri ke Bangladesh telah membuka lembaran baru apabila perundingan dua hala telah menghasilkan lebih banyak persefahaman untuk kebaikan bersama.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah mengetuai sambutan negara bersama barisan Menteri Kabinet beliau.

Tapi bukan itu yang menarik perhatian saya. Lebih daripada itu, kumpulan penunjuk perasaan yang pro kepada pembangkang telah menghentikan sementara demonstrasi mereka sebagai menghormati kunjungan Najib.

Beberapa petugas hotel sewaktu ditemui menyatakan " Kumpulan penyokong pembangkang tidak mengadakan tunjuk perasaan hari ini sebagai tanda hormat kepada pemimpin anda ", kata seorang pegawai hotel yang sempat ditemui.

Mari kita bandingkan mereka dengan pemimpin pembangkang kita. Hampir setiap hari ada sahaja pemimpin pembangkang kita memburuk burukkan pemimpin kita.

Bahkan ada yang pergi ke banyak negara luar bagi menyuburkan kerisauan dan kebencian terhadap pemimpin kita. Implikasinya mereka harap negara yang mereka kunjungi tidak akan melabur dalam negara kita, ekonomi merosot dan kerajaan menjadi lemah.

Kadang kala kita memandang rendah kepada orang lain sedangkan hakikatnya mereka lebih bertamadun berbanding kita...


Tuesday 19 November 2013

UMNO PERASAN ! PERASAN UMNO !


Inilah hasil pemerhatian saya. Sejak dahulu, UMNO sentiasa percaya bahawa ia akan bertahan kerana pembangkang bermasalah.

UMNO juga nampaknya amat bergantung kepada Badan Bukan Kerajaan,
( NGO ). Saya melihat keghairahan NGO memperkatakan pelbagai isu yang sepatutnya dibicarakan dalam kerangka politik UMNO.

Inilah kesilapan UMNO. Silap yang saya jangka jika tidak ditangani secara berkesan akan memberi padah kepada UMNO dalam PRU 14.

Sewaktu DAP ' menguasai ' PRU 13, sebenarnya DAP sedang menghadapi kemelut dalaman yang serius. Kemelut itu hakikatnya masih berlaku sehingga sekarang.

Budaya politik Cina, walau seserius manapun masalah dalaman mereka, ia tetap tidak akan menjejaskan undi. Undi mereka walaupun satu, tidak akan pergi ke parti yang lain selain yang diarahkan kepada mereka.

UMNO wajib sedar, bahawa menang kalah dalam pilihanraya bergantung kepada undi. Semakin banyak pengundi dapat ditawan, makin tinggi peluang untuk menang.

Kerja menawan pengundi ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh NGO. Tidak mungkin. Ia hanya boleh dilakukan oleh aktivis parti yang turun mengadakan pertemuan bersemuka dengan para pengundi.

Malangnya UMNO seakan perasan. UMNO seronok melihat begitu banyak NGO berjuang khasnya membabitkan bangsa dan agama. Sedangkan mereka lupa, ia sama sekali tidak memberi sebarang
 makna untuk pilihanraya.


Sunday 17 November 2013

SIMPATI BENAR MAHFUZ OMAR DENGAN LIM KIT SIANG.


Kuala Lumpur- 17 November. 
Pengerusi DAP Karpal Singh didesak bersikap jujur dalam mendepani isu berhubung kenyataan beliau menyarankan pendaftaran PAS dibatalkan berikutan pendedahan kenyataannya itu kelmarin.

Naib Presiden PAS ( akan mempertahankan jawatan) , Datuk Mahfuz Omar berkata selaku ahli politik berpengalaman, Karpal seharusnya berani mengakui kesilapannya jika ia benar benar mengatakan perkara tersebut.

" Dia kena jujur dan berjiwa besar. Sebelum ini dia nafikan. Lim Kit Siang juga nafikan selepas mendengar penjlasan Karpal " Kata Mahfuz.( UM )

Mahfuz nyata kesal kerana tindakan Karpal telah mencalar imej PAS dan imej DAP serta Lim Kit Siang sekaligus.

p/s - Walaupun diketahui berkelulusan rendah tetapi kebijaksanaan Mahfuz terserlah di sini. Walaupun dia mengatakan Karpal berbohong namun tuduhan itu tidak akan merosakkan hubungan akrab PAS - DAP sebab dalam masa yang sama Mahfuz seakan mempertahankan DAP dan Lim Kit Siang.

Jikapun Karpal akan melenting, ia akan dilihat mewakili dirinya secara peribadi bukan bagi pihak DAP.

Inilah pentingnya pengalaman politik. Mahfuz dapat menambah nilai bagi dirinya dan dalam masa yang sama menjaga keharmonian hubungan dalam Pakatan.


Saturday 16 November 2013

TAKUT SAYA MEMBACA BERITA INI !


Johari menang Ketua Pemuda UMNO Rompin.

Muadzam Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Kapten ( B ) Mohd Johari Hussain menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rompin dalam pemilihan semula di Dewan Besar DARA, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Tioman menang dengan majoriti 172 undi dalam saingan satu lawan satu apabila memperolehi 187 undi, mengalahkan lawannya yang juga penyandang Datuk Mohamad Shafri Abdul Aziz yang memperolehi 15 undi.

Pada pemilihan 12 Oktober lalu, Johari tewas dengan majoriti 6 undi-
Petikan Berita Minggu 17 Nov 2013.

Sekali pandang berita di atas adalah berita biasa. Tetapi jika diteliti, tersirat beberapa perkara yang wajar diberi perhatian.

1.  Pemilihan semula ini berlaku kerana protes. Ini bermakna ada kalangan Pemuda yang tidak dapat menerima keputusan lantas melakukan protes dan protes mereka dilayan oleh JK Pemilihan parti. Hakikatnya menang kalah adalah ' cerita dalaman ' UMNO.

2. Pada 12 Oktober Johari tewas 6 undi, manakala pada 16 Nov Johari menang dengan majoriti 172 undi. Perwakilan tentunya orang yang sama.
Persoalannya ialah bagaimana dan mengapa perwakilan Pemuda UMNO berubah sokongan mereka secara 360 darjah dalam tempoh sebulan.

Pemuda UMNO Malaysia harus melihat perkara ini secara serius. Pemuda nampaknya betul betul berpolitik dalam UMNO sehingga 'peristiwa begini' boleh berlaku.

Sedangkan umum bercakap tentang kelesuan Pemuda UMNO dalam usaha menawan pengundi dalam PRU13 dan PRK Sungai Limau.

Pemuda UMNO dilihat beri fokus yang salah dan ini amat bahaya kepada parti khasnya dalam mendepani PRU 14.

Saya dapat mengesan gerakan menyeluruh dan mendalam Pemuda PAS khasnya di peringkat akar umbi. Program kenduri, mengurus jenazah dan program kesukanan hampir berlaku setiap masa di kampung kampung.

Pemuda PAS dilihat lebih rapat dengan pengundi muda.

Adakah Pemuda UMNO menyedari perkara ini ?


BUDAYA POPULIS LANDA PAS !


Sewaktu bahang pemilihan UMNO baru baru ini, saya dapati ada kecenderungan dalam kalangan pemimpin UMNO untuk menonjolkan diri dengan pelbagai cara dan kaedah.

Ada yang menggunakan isu isu keselamatan negara, ada yang menggunakan isu bangsa dan ketuanan Melayu, ada yang menggunakan isu sukan dan sebagainya.

Pada  ketika itu umat Melayu termasuk petani dan nelayan, pemuda dan wanita bahkan segala lapisan masyarakat berasa betapa beratnya perhatian pemimpin kepada mereka.

Nampaknya strategi ini berhasil. Kebanyakan pemimpin yang ' bijak'
mengambil peluang ini telah menang dengan cemerlang. Saya fikir ini budaya UMNO.

Rupanya saya tersilap. Budaya mencari populariti untuk mengejar jawatan juga berlaku dalam PAS. Bahkan lebih parah lagi kerana mereka memperalatkan agama khasnya hukuman hudud untuk mencapai tujuan tersebut.

Sinar Harian melaporkan, Kerajaan Kelantan menyediakan RM 1 juta bagi tujuan laksana hudud. Timbalan Menteri Besar Kelantan ( Calon Timbalan Presiden PAS ), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan pihaknya serius melaksanakan hukuman hudud di Kelantan.

" Sebelum ini kita berhenti kerana lampu merah ( sekatan pusat ). Kita free gear tapi kita tak mati enjin. Oleh kerana lama sangat, kita intai intai kalau kalau polis tiada. Sekarang kita akan teruskan dengan harapan polis tidak sekat ".

Analogi yang digunakan oleh Mohd Amar menggambarkan kepada kita betapa PAS tidak serius mahu laksanakan hudud. Baca kenyataan di bawah.

" Sebenarnya sebelum pilihanraya beberapa kali kita bincang tetapi tidak dedahkan. Untuk tahun depan Menteri Besar telah masukkan sejuta untuk persiapan prasarana bagi melaksanakan hudud ".

Kerajaan baru merancang mahu menyediakan prasarana pelaksanaaan hudud. Jika prasaranapun belum ada, baru mahu dirancang maka kita pasti hudud tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jika benar benar belum bersedia kenapa ia menjadi bahan berita sekarang ? Jawapannya ialah kerana ada pihak atau calon tertentu mahu hudud menjadi bahan kempen dalam pemilihan PAS tak berapa hari lagi.

Maknanya berasaslah kerisauan saya dan rakan rakan, nampaknya parti utama Melayu menjadikan bangsa dan agama alat untuk mencapai keuntungan peribadi, bukan matlamat perjuangan parti...



Friday 15 November 2013

LEBIH RAMAI GURU AKAN BERSAMA PAKATAN PADA PRU14.


MUHYIDDIN YASSIN RELAKAN GURU BERALIH ANGIN.

Saya mempunyai ramai rakan taulan dari kalangan guru. Bahkan saya kagum dengan pengorbanan mereka selama ini mendidik anak bangsa walau apapun cabaran yang dihadapi.

Saya perhatikan dalam UMNO guru adalah tenaga penting yang jarang bertanya apa yang UMNO boleh berikan kepada mereka sedangkan UMNO di banyak Bahagian dihidup dan digerakkan oleh para guru.

Akhir akhir ini saya dapati ramai rakan guru saya yang mula memberontak kerana Kerajaan seakan akan tidak mendengar dan memahami mereka.

Bebanan tugas guru memaksa guru bekerja 24 jam sehari kerana khasnya pengisian data yang melampau melalui talian yang kualitinya sangat rendah.

Sebahagian daripada data itu wajib diisi berulang kali sedangkan ia adalah data yang sama. Antara yang diberitahu kepada saya ialah,

E-SPLG ,  E- Operasi , E- Nilam, E- Kehadiran murid, E-SPPBS, E- Jabatan,
E- PPD, E - Pangkat, E- APDM, E- HERMIS, E-Emis, E- SSDM dan banyak lagi.

Hakikatnya kelemahan E- Sistem, Server dan jalur lebar memaksa guru bangun jam dua pagi tetapi masih gagal melaksanakan tugasan ini.

Malangnya guru yang tidak dapat melaksanakan tugasan namanya akan tersiar dalam laman tertentu dan akan dapat dilihat oleh manusia satu dunia.

Ini belum termasuk dengan pelaksanaan amalan Melindungi Masa Instruksional ( MMI ) di mana guru TIDAK DIBENARKAN melakukan aktiviti ko kurikulum pada waktu pagi.

Ini memaksa guru balik pada waktu petang hampir setiap hari.

Ada rakan guru yang berasa seperti menjadi buruh paksa. Keluarga dan diri sendiri terabai dan kebahagiaan mendidik semakin menipis.

Ada yang mengatakan Tan Seri Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran dilihat GAGAL SAMA SEKALI membantu guru untuk berasa bahagia dan gembira.

Malangnya di celah celah kelukaan ini pemimpin pembangkang menawarkan pelbagai kemudahan kepada mereka. Saya bimbang tapi tidak terkejut jika ramai guru akan mengundi pembangkang selepas ini.

Nampaknya ' kita ' yang mahu mereka berbuat demikian.


Tuesday 12 November 2013

LICIK HUSAM MUSA MENGATASI ANWAR IBRAHIM.


Ada orang mengatakan Anwar Ibrahim adalah ahli politik yang licik. Cara politik beliau menyebabkan rakan atau musuh berasa terancam atau mungkin ada yang takut dengan beliau.

Tapi Anwar juga mempunyai seteru yang jelas. Ada pihak sentiasa berasa Anwar adalah musuh yang bahaya dan wajib dijauhi.

Inilah kekuatan Husam Musa. Penampilannya ' sentiasa kelihatan baik'. Apa sahaja yang dilakukannya akan dianggap sebagai untuk kebaikan termasuk tindakannya menghentam Kerajaan PAS Kelantan dalam sidang Dewan, sesuatu yang sebenarnya tindakan luar biasa.

Apabila Husam Musa menarik diri daripada persaingan Timbalan Presiden PAS, tiba tiba namanya melonjak tinggi dalam kalangan penyokong beliau. Beliau dikatakan melakukan pengorbanan bagi mengelakkan wujud dua calon Kelantan yang merupakan kubu PAS.

Seteru politik beliau dalam PAS ikut tergamam, barangkali menyesali kempen memburukkan beliau selama ini.

Husam seorang yang bijak. Saya yakin jika beliau ikut bertanding walau berapa penjurupun beliau akan menang. Mat Sabu terpalit pelbagai isu. Ustaz Nik Amar dilihat gagal sebagai Timbalan Menteri Besar, dan hanya bertahap ' pimpinan negeri '. Manakala Tuan Ibrahim dianggap sebagai golongan tua yang tidak selari dengan bilangan perwakilan yang ramai lebih muda daripadanya.

Inilah kerisauan Husam. Jika beliau menjadi Timbalan sekarang maknanya beliau terpaksa menangani ' perubahan sikap dan pemikiran' yang ekstrim yang sedang berlaku dalam PAS.

Konflik ulamak - profesional sedang dan akan terus bergelora dalam PAS dan saya percaya ia akan berlanjutan lama. PAS akan menghadapi zaman sukar khasnya setelah ketiadaan Nik Aziz yang semakin uzur dan tak berdaya.

Hakikat yang PAS akui, faktor ' segan dan hormat ' kepada Nik Aziz masih lagi menyebabkan kemelut dalaman ini tidak bertukar menjadi gelombang besar.

Husam akan menang Naib Presiden, mungkin yang tertinggi. Husam akan memerhatikan Timbalan Presiden sepenggal bertungkus lumus cuba menangani segala permasalahan. Mat Sabu.

Mat Sabu akan jadi Timbalan Presiden kerana lawannya yang memang tidak popular. Tetapi Mat Sabu akan jadi Timbalan yang lemah dan gagal.

Pada masa itulah Husam akan tampil. Sebagai Naib Presiden yang berwibawa, berkesan tetapi kurang pertanggungjawaban. Husam akan dilihat cuba membantu Presiden dan Timbalan dan sedikit sebanyak kita akan dapat saksikan hasilnya.

Pada pemilihan akan datang, PAS akan melihat bahawa tiada calon lain yang layak menjadi Timbalan Presiden selain Husam. Dan saya percaya pada masa itu Husam tidak akan disaingi...begitulah Husam.

Sabar dan bijaknya mengorbankan dua tahun untuk mungkin puluhan tahun akan datang...



Monday 11 November 2013

SEDAP TAJUK NI !


Kadangkala apabila kita membaca sesuatu tajuk, kita dapat mengaitkannya dengan banyak perkara lain samada secara langsung ataupun tidak .

Sebuah artikel yang tersiar dalam Portal Malaysiakini, memaparkan tajuk yang sebenarnya berkaitan dengan semua parti yang ada di tanah air kita.

ISU UITM, POPULAR DALAM DAP TAPI JARAKKAN MELAYU. 

Artikel ini adalah tulisan Amran Ahmad ahli Melayu dalam DAP tetapi mengambil keputusan untuk keluar daripada parti rasis tersebut.

Antara lain penulis mencatatkan beberapa tindakan yang diambil oleh individu tertentu dalam parti tersebut yang menjadikan diri mereka popular dalam parti mereka tetapi menjejaskan keyakinan orang Melayu terhadap DAP.

Saya tidak bercadang untuk mengulas mengenai apa yang berlaku terhadap DAP tetapi berasa kagum di atas keberanian mereka mengakui dua perkara yang amat asas.

1. Popular dalam parti sendiri tidak memberi banyak manfaat dalam konteks mendapatkan kuasa pemerintahan negara.

2. Untuk mendapatkan kuasa di negara ini seseorang atau sesebuah parti tidak boleh nampak/ kelihatan seperti berjuang untuk sesuatu kaum yang mereka wakili sahaja.

Ini kekuatan DAP. Mereka cepat mengesan kelemahan, berani bercakap tentangnya dan saya yakin mereka akan berusaha keras melakukan pengubahsuaian.

Persoalan yang ingin saya timbulkan, adakah UMNO dan pemimpinnya mempunyai keberanian yang sama ?


Saturday 9 November 2013

LAGI KEZALIMAN KERAJAAN BN DIBONGKAR !!


Pesan Rasullullah SAW, sebaik baiknya sewaktu memberi sesuatu sumbangan, sedekah atau melakukan kebaikan, elakkan daripada menceritakannya kerana dikhuatiri akan menimbulkan rasa ri'a dan hilang keikhlasan.

Bahkan dikatakan sewaktu tangan kanan memberi, kanan kiripun tidak tahu. Begitulah.

Barangkali inilah pegangan Kerajaan BN sehingga sebahagian daripada dasar dan perancangan tidak dilihat sebagai ' kebaikan' kerajaan.

Dalam keadaan politik sekarang, di mana persepsi dan populariti menjadi asas penerimaan khalayak saya menyarankan agar kerajaan membesar besarkan apa juga tindakan yang dibuat bagi membantu meringankan bebanan rakyat.

Contoh yang sedang berlaku sekarang ialah, KAKITANGAN AWAM TERIMA DUA KENAIKAN GAJI.

Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA ) diberitakan telah mengeluarkan pekeliling yang merupakan surat opsyen kepada kira kira 600 ribu kakitangan awam samada menerima atau menolak tawaran kenaikan gaji dua kali bagi tahun 2013.

81 skim perkhidmatan terlibat dan dijangka akan menjawab opsyen ini selewat lewatnya pada bulan Disember 2013.

Tentunya ini khabar gembira buat kakitangan awam. Saya percaya tidak ada orang normal yang tidak mahu gajinya dinaikkan.

Sehingga kini saya mendapati berita ini tidak menjadi ' besar ', seakan tiada keghairahan. Ia tidak menjadi seperti berita ' harga minyak naik, harga ayam naik, subsidi gula disusun '.

Di pihak UMNO yang menjadi tunjang Kerajaan BN, ia seakan akan bukanapa apa untuk dirai sedangkan berita ini adalah mimpi ngeri bagi pembangkang yang berazam mengecilkan jumlah kakitangan awam..

Ini juga barangkali harus jadi bahan kajian UMNO. Menyusun strategi agar segala yang baik mendatangkan kesan yang baik dari aspek politiknya.


Thursday 7 November 2013

INILAH HISHAMUDDIN HUSSEIN !


Sebentar tadi saya menonton Buletin Utama TV 3. Siapa sahaja pasti tersentuh apabila menonton kaum keluarga, anak anak termasuk bayi yang baru lahir ditemukan dalam satu majlis.

Sewaktu wira itu gugur, anaknya masih dalam kandungan ibunya.

Berat mana mata memandang, berat lagi bahu memikul. Memang sebanyak manapun sumbangan diberikan tidak mungkin dapat menggantikan tempat orang yang telah pergi.

Tapi bukan itu sahaja yang ingin saya tampilkan. Saya ingin menyatakan kagum saya kepada DS Hishamuddin Tun Hussein. Kita tahu program dan perancangan ini adalah buah tangannya. Beliau Menteri Pertahanan.

Tapi beliau memilih untuk berada di belakang tabir. Beliau hadir tetapi sumbangan diumumkan dan disampaikan oleh Perdana Menteri.

Ini sebenarnya kekuatan beliau. Tidak ghairah dengan publisiti dan populariti. Ini juga barangkali yang cuba ditimbulkan oleh Blog Alahai Siluncai DISINI .

Saya mempunyai kepercayaan bahawa perancangan ini sudah dibuat lama tetapi pemilihan UMNO tidak menyebabkan ia diumumkan dengan segera.

Saya harap DS Hishamuddin akan mengekalkan sikap dan caranya. Bekerja kerana ' kerja ', bukan bekerja kerana kerjaya politik peribadi.

Rakyat sentiasa memerhati dan membuat penilaian...


Tuesday 5 November 2013

MENERIMA KEKALAHAN SUNGAI LIMAU DAN BELAJAR BERASA RISAU.

KITA TELAH MENGETAHUI KEPUTUSAN PRK SUNGAI LIMAU DI MANA PAS DAPAT MENGEKALKAN KERUSI YANG SEKIAN LAMA MEREKA KUASAI.

PILIHANRAYA IALAH BERKAITAN PARTI MANA YANG MENDAPAT LEBIH UNDI WALAUPUN SATU. PAS TELAH MENANG DENGAN MAJORITI 1084 UNDI, SATU JUMLAH YANG BOLEH DIANGGAP BESAR JIKA TAWARAN UMNO/BN DIAMBIL KIRA.

SAYA AGAK BIMBANG DENGAN KENYATAAN PIMPINAN UTAMA PARTI DALAM MENGULAS KEPUTUSAN INI.

DS NAJIB " JENTERA KITA TELAH BERTINDAK DAN BEKERJA DENGAN CEMERLANG SEHINGGA DAPAT MENGURANGKAN MAJORITI PAS ".

KHAIRY JAMALUDDIN " PAS MENERIMA TAMPARAN HEBAT KERANA UMNO TELAH BERJAYA MENEMBUSI KUAT KUAT MEREKA ".

SHAHRIZAT JALIL " KITA MENANG DALAM KALAH ".

BARANGKALI ILMU POLITIK SAYA TIDAK CUKUP TINGGI KERANA BERANGGAPAN KENYATAAN DI ATAS TIDAK AKAN MEMBANTU UMNO DARI PUNCAK KE AKAR MELAKUKAN PEMERIKSAAN DALAMAN DAN YANG PALING PENTING MEMBESAR BESARKAN KEKALAHAN INI.

MERAIKAN KEKALAHAN SECARA BERSUNGGUH SUNGGUH PASTI AKAN MENCETUSKAN EMOSI RISAU DALAM KALANGAN KITA.

RISAU MENYEBABKAN IBU MENGANDUNG BERHATI HATI MENJAGA DIRI DAN KANDUNGANNYA SEHINGGA DAPAT BERSALIN DENGAN SELAMAT.

RISAU MENYEBABKAN PEMANDU MEMANDU DENGAN CERMAT DAN DAPAT MEMINIMAKAN KEMUNGKINAN BERLAKU KEMALANGAN.

RISAU MENYEBABKAN PELAJAR BELAJAR BERSUNGGUH SUNGGUH SEHINGGA MENDAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG.

EMOSI RISAU YANG TERKAWAL DAN DIURUSKAN DENGAN BAIK AKAN MENGHASILKAN TINDAKAN TINDAKAN SUSULAN YANG BIASANYA AKAN MEMBANTU MENCAPAI SESUATU OBJEKTIF.

TENTU KITA TIDAK LUPA TENTANG KERISAUAN ALMARHUM TUN RAZAK SEHINGGA TERHASILNYA DASAR EKONOMI BARU ( DEB ) YANG TELAH BANYAK MERUBAH NEGARA.

LEBIH DARIPADA ITU, PASTI KITA SEMUA MAKLUMI KERISAUAN RASULLULLAH SAW TELAH MENYELAMATKAN BILLION UMAT MANUSIA DARIPADA PERANGKAP JAHILLIYAH. 

 ISLAM HAKIKATNYA TELAH MENYELAMATKAN KITA.

SAYA AGAK HAIRAN MENGAPA PRESIDEN PARTI, KETUA PEMUDA DAN KETUA WANITA DAN SAYA DENGAR RAMAI LAGI PEMIMPIN LAIN SEAKAN AKAN MAHU MENABURKAN MADU DALAM KALANGAN ORANG UMNO SEHINGGA BERASA SELESA.

AKHIRNYA SAYA YAKIN ORANG UMNO TIDAK TERASA PERLU/PENTING UNTUK MULAKAN USAHA MEMENANGI PRU 14 MULAI SEKARANG.

TIDAKKAH INI BAHAYA UNTUK PARTI ?


Wajibkan Subjek Sejarah Bukan Jawapan.


Insyaallah mulai esok anak anak kita akan menduduki peperiksaan Sijil 
Pelajaran Malaysia. Ada sejarah yang tercatat betapa mulai tahun 2013 ini Subjek Sejarah akan menjadi subjek wajib lulus, sama seperti Bahasa Melayu ( kadangkala disebut Bahasa Malaysia ).

Apakah peristiwa yang mendorong kepada keputusan besar ini ?

Umumnya ia menjadi ' dasar ' Kementerian Pelajaran apabila pelbagai pihak mula mempertikaikan sejarah negara. Pertikaian itu pula lebih bersifat politik berbanding keperluan akademiknya.

Maaf, saya ingin katakan bahawa dasar Wajib Subjek Sejarah ini dirancang dan dilaksanakan atas nasihat ' penasihat penasihat ' kepada kerajaan yang mungkin berasa bimbang perubahan interpretasi sejarah bakal mengurangkan ' kepahlawanan ' pejuang UMNO khasnya.

Maka bertolak daripada provokasi orang seperti Namewee, Adam Adli dan Mat Sabu maka dasar baru ini dilaksanakan.

Objektif tersuratnya ialah mengangkat patriotisme dan kecintaan kepada negara bangsa dan yang tersiratnya ialah mengekalkan pemahaman bahawa UMNOlah pejuang sebenar kemerdekaan dan pengisiannya.

Apa yang bakal berlaku? Jika gred lulus tidak diturunkan, saya percaya ramai akan gagal Sejarah dan automatik tidak mendapat sijil SPM.

Sejarah ialah subjek yang memerlukan pembacaan. Dan hakikat yang tidak ramai ketahui anak Melayu amat kurang membaca berbanding pelajar Cina.

Maafkan saya kerana tidak mempunyai bukti angka terperinci tetapi saya mempunyai kepercayaan begitu.

Saya anggap kita terlalu terburu buru dan bertindak atas konflik yang dicetuskan oleh orang orang yang sebenarnya 'tiada rasa kasih kepada negara bangsa ini'.

Izinkan saya untuk membuat saranan. Kerajaan UMNO wajib mempunyai penasihat daripada pelbagai latar belakang. Pegawai Kementerian, Guru, Ketua Kampung, Ketua Cawangan, Blogger, Facebooker, konstabel polis.

Semua pihak ini harus distruktur, diadun. Mereka ini sentiasa berada di lapangan dan nampak pelbagai isu dari pelbagai sudut.

Selama ini barangkali kerajaan hanya mendapat nasihat dari puncak menara gading yang melihat segalanya dari atas sehingga ranting dan akar terabai daripada pandangan.

Kerajaan UMNO tidak usah goyah dengan sedikit goncangan. Yakin pada diri. Rancang segalanya semula sementara kita masih berkuasa. Percayalah, selagi kita berada di landasan yang betul, Allah tetap bersama kita.


Assalamualaikum, Salam Pengenalan...


Salam hormat dari saya.

Hidup ini ringkas. Hari ini kita telah melangkah ke Tahun 1435 Hijrah. Tahun 1434 Hijrah telah kita tinggalkan dengan pelbagai kisah, berwarna warni. Pasti ada suka dukanya.

Saya pula pendatang baru di alam blog ini walaupun saya mengikuti dengan penuh minat banyak blog yang sangat saya kagumi.

Blogger ada sumbangan yang tersendiri tatkala media konvensional tidak lagi berupaya menjadi arus perdana. Alam maya nampaknya menjadi gelanggang yang signifikan dalam kehidupan kita pada hari ini.

Saya adalah penyokong tegar UMNO. Kebetulan rumah saya bersebelahan dengan Dewan Orang Ramai maka UMNO mula saya kenali sejak saya amat kecil.

Ketika itu datang ke dewan bersama ibu bapa bermakna dapatlah makan bihun dan karipap. Sesuatu yang jarang jarang masuk ke rumah kerana kemiskinan.

Saya mendengar pidato dan syarahan pemimpin kampung dan orang luar yang kemudiaannya saya ketahui sebagai Wakil Rakyat atau pemimpin UMNO Bahagian.

Saya dapat melihat pemuda memanjat tiang menggantung poster manakala kaum wanita menjahit dan menyirat bendera.

Saya akhirnya menjadi sebati dengan UMNO. Merasai resah gelisahnya,menikmati riang rianya. Saya yang miskin akhirnya bersekolah, mendapat biasiswa dan mampu bersekolah menengah ( lebih bernasib baik berbanding abang abang saya ) seterusnya menjejak kaki ke menara gading.

Saya kemudiannya menyedari betapa sebahagian daripada kejayaan itu adalah berkat dasar yang diputuskan oleh Kerajaan UMNO.

Sebagai tanda terima kasih, izinkan saya dengan ilmu terbatas ini untuk bersama sama menyumbang buah fikiran, kadangkala barangkali melontarkan teguran agar Kerajaan UMNO yang banyak berjasa ini terus kekal demi anak cucu kita pula.

Berikan saya ruang dalam sisa umur yang tak seberapa ini untuk sama sama berjuang dalam medan yang saya yakini amat bermakna ini.

Kerjasama dan perhatian daripada saudara saudara yang telah lama berjuang amat saya hargai dan Allah jua yang membalasnya.