Negarawan

Negarawan

Wednesday, 14 May 2014

LELAKI INI SELALU TEPAT DALAM NASIHATNYA !!

Perlu Pendekatan Diplomasi Tangani Kemelut Politik Terengganu - Dr Mahathir

Oleh Elmi Rizal Elias

JAKARTA, 14 Mei (Bernama) -- Kepimpinan tertinggi UMNO perlu menangani kemelut politik Terengganu secara berhati-hati dan menggunakan diplomasi agar parti dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan mentadbir negeri itu.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menegaskan demikian berkata, jika pemimpin UMNO pusat menggunakan pendekatan secara 'kasar', ia hanya mengundang masalah seperti terjadi ke atas bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak meninggalkan parti.

"Kalau kita ambil tindakan yang kasar, bagi dia (Ahmad) kalau tinggalkan UMNO, tiada masalah.

"Tidak seperti di sesetengah negeri, macam Johor, UMNO sudah menjadi darah daging. Kalau orang di Kelantan pula, nak tinggalkan PAS dan UMNO agak payah sebab pegangan mereka kuat.

"Kedua-dua pemimpin (di peringkat pusat dan negeri) mesti terima ada kesalahan di kedua-dua pihak," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dalam bidang pembangunan politik daripada Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta, Rabu.

Hadir sama di majlis itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Terengganu menjadi tumpuan sebelum ini selepas Ahmad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal mengisytiharkan diri keluar daripada UMNO setelah meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Dr Mahathir berkata di Terengganu tindakan pemimpin UMNO keluar parti bukanlah isu besar berbanding negeri lain.

Beliau berkata di Terengganu, tukar parti perkara biasa dan mereka gemar melakukan percubaan.

"Dia cuba UMNO selepas itu dia cuba PAS. Lepas itu dia cuba UMNO semula.

"Itu cara dia (orang Terengganu), jadi kita kena berjaga-jaga kerana dia mudah beralih. Ini karakter (perangai) orang Terengganu," kata Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir yang pernah menjadi presiden UMNO, krisis politik di Terengganu itu berpunca daripada kelemahan parti UMNO sekarang.

"UMNO kini lemah. Sedikit sebanyak kerana pandangan (anggota) ialah (fokus) kerajaan terhadap masalah orang Melayu, masing-masing berkata, berkurangan kerana layanan yang kuat diberi kepada parti lawan dan orang Cina.

"Jadi ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu.

"Bagi mereka sokong pun bukan kerana kepimpinan tetapi kerana tidak suka kepada parti lawan," katanya.

Dr Mahathir berkata kepimpinan tertinggi UMNO perlu memahami sentimen penyokong di peringkat akar umbi bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan pemimpin UMNO tidak seharusnya mendengar bulat-bulat individu yang berada di sekeliling mereka sahaja, sebaliknya perlu memahami keluhan anggota parti yang sentiasa menyokong UMNO.

"Pemimpin mesti sedar tentang perasaan orang bawah. Jangan harap orang yang dekat sahaja. Kita kena tahu orang di bawah, dia rasa macam mana.

"Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan cara dasar pentadbiran tetapi mereka tidak tahu macam mana nak gunakan saluran (menyuarakannya) kecuali melalui pilihan raya," katanya.

Dr Mahathir berkata sebenarnya UMNO banyak melakukan kesilapan yang serupa, namun tidak ramai pemimpin parti itu yang berani tampil memperbetulkan kesalahan tersebut.

Ini menyebabkan kepimpinan tertinggi merasakan apa yang dilakukan mendapat sokongan, kata beliau.

"UMNO jarang belajar...saya dah kata berkali-kali tetapi mereka tidak sedar. Kita akan kehilangan (kuasa) kerana UMNO tidak belajar dan buat kesalahan yang sama," katanya.- Benama.

Ulasan
Saya tidak mahu mengulas. Tepat, jelas dari hati negarawan ulung. Mari kita sama sama berfikir.

1 comment:

  1. Masalahnya nasihat Tun tiadk diikuti. Kerajaan UMNO ada penasihat lebih hebat

    ReplyDelete