Satu ketika dahulu, dadah disebut sebagai NAJIS DADAH dan diisytiharkan sebagai musuh No 1 Negara. Saya menyedari bahawa program pencegahan dadah ini giat dilaksanakan termasuk di sekolah sekolah di seluruh negara.
Pada ketika itu saya pernah hadir Karnival Anti Dadah Peringkat Kebangsaan yang saya dapati mempunyai banyak unsur yang boleh membantu remaja khasnya memahami betapa bahayanya najis dadah kepada manusia dan pembangunan negara bangsa.
Beberapa tahun kebelakangan segalanya senyap. Jangkaan saya tentulah masalah dadah sudah semakin dapat diminimakan. Rupanya tidak. Saya terkejut mendengar beberapa orang remaja maut akibat dadah dalam sebuah konsert baru baru ini.
Kita juga maklum bahawa beberapa artis ternama terbabit dalam gejala ini. Selepas bertahun tahun, saya fikir tentu pihak berwajib mempunyai kerangka perancangan jelas bagi membasmi pengaruh dadah ini dalam kalangan masyarakat kita.
Tapi apabila seorang lagi artis sedang meningkat naik didakwa terlibat dengan najis dadah, saya percaya sesuatu WAJIB dilakukan serta merta sebelum remaja kita berfikir ' TIDAK MENGAPA ' mengambil dadah. Ambil dadahpun boleh berjaya.
Golongan artis mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap remaja khasnya Melayu. Saya dapat lihat bagaimana golongan remaja ini mengikut dan meniru apa sahaja yang dilakukan oleh artis. Sebahagiannya menjadikan artis sebagai idola.
Kerajaan perlu duduk semula. Kaji dan buat pembetulan. Ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya bilamana kita melihat artis yang pernah disabitkan dengan kesalahan dadah masih menguasai pentas hiburan kita.
Jika kerajaan gagal bertindak tegas, saya bimbang akhirnya kita akan menerima perbuatan menggunakan najis dadah sebagai biasa. Dan pada ketika itu sebenarnya tiada apa boleh dilakukan lagi.
No comments:
Post a Comment