Negarawan
Thursday, 26 December 2013
SEMUA NEGERI DILANDA HUJAN, PERAK DILANDA KEMARAU !
Inilah rumusan teman teman samada yang aktif berpolitik mahupun pemerhati pasif.
Parlimen Bagan Datoh dan Tapah, Dewan Undangan Negeri Lubuk Merbau, Manong dan Rungkup sedang berada dalam keadaan tidak menentu.
Saya tidak berhasrat bahkan tidak mampu menelah apa yang akan berlaku sebenarnya kerana Mahkamah Pilihanraya akan membuat keputusan. Barangkali PRK akan berlaku.
Harapan kita yang mengasihi UMNO, biarlah keputusan berpihak kepada kita. Namun hakikatnya Kerajaan UMNO/BN yang ditohmah dengan pelbagai fitnah dan tohmahan tidak mungkin akan menentukan keputusan mahkamah. Mahkamah kita sebenarnya bebas daripada sebarang campurtangan kerajaan. Ironinya, Anwar Ibrahim telah berkali kali cuba mengganggu sistem kehakiman.
Apa yang ingin saya tekankan ialah betapa Kerajaan UMNO/ BN wajib melaksanakan
segala janji pilihanraya sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum diisytiharkan. Kita tidak tahu apakah secara tiba tiba sesuatu berlaku dan PRK terpaksa diadakan.
Bukan hanya Kerajaan, UMNO juga tidak boleh begitu banyak bercuti. Saya mendengar terdapat banyak rombongan diadakan bagi meraikan kejayaan dalam pilihanraya namun yang terlibat hanya pemimpin cawangan dan Bahagian.
Malang pula ( sekiranya benar ), ada Wakil Rakyat UMNO belum benar benar memberikan perkhidmatan sejak selesai PRU 13. Rakyat serta merta membuat penilaian dan sudah tentu segera pula menghukum kerana kecewa.
Bayangkan bagaimana juru kempen, Jalinan Rakyat, penceramah mahu berkempen dan meminta pengundi mengundi UMNO/BN dengan slogan Rakyat di Dahulukan sedangkan hakikatnya rakyat tidak gembira ?
Bagaimana Pak Tam, Mak Cik Leha, Nenek Tom harus diterangkan tentang penyusunan semula subsidi ? Bagaimana Chu Khalid, Tok Moh Harun mahu dijelaskan tentang kejayaan Kerajaan UMNO mengangkat tahap ekonomi sedangkan kehidupan rasanya semakin sukar ?
Inilah antara kepanasan Perak akhir akhir ini. Mungkin ada pakar dari puncak menara gading akan diturunkan ke kampung kampung untuk membantu UMNO.
Namun tentunya para pendeta belum tentu mampu meranduk semak samun hujung kampung.
Saya yakin pemimpin parti yang baru dipilih ada jawapan kepada segala kerisauan ini. Silap dalam mencatur, Perak mungkin beralih angin...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment