Maka Harakah dan beberapa Blog Pakatan telah menyiarkan laporan ini...
ALOR SETAR, 13 Jun (Bernama) -- Keluarga Chew Kar Moi, seorang daripada penumpang pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang, enggan menerima bayaran pendahuluan pampasan selagi tiada bukti penemuan bangkai pesawat atau mayat Chew.
Kakaknya, Chew Kar Hui, 33, berkata keluarganya enggan menerima pampasan itu selepas diberi taklimat oleh pihak Malaysia Airlines bulan lepas.
Beliau berkata tidak ada gunanya wang pampasan itu diterima keluarganya sedangkan bukti penemuan bangkai pesawat dan mayat adiknya tidak diketahui hingga kini.
"Duit tak mampu ubati luka dan kekecewaan keluarga kami. Kami mahu terus dibela dengan meminta pihak berwajib meneruskan operasi pencarian sehingga terjumpa bukti pesawat itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Chew berkata keluarganya juga enggan menguruskan hal berkaitan dengan insurans walaupun Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sebelum ini bersetuju mempermudahkan proses prosedur tuntutan.
Chew berkata keluarganya enggan melakukan sebarang proses bagi membuat tuntutan selagi kehilangan pesawat tiada sebarang berita.
"Duit bukan keutamaan buat masa kini dan kami tetap berharap dan berharap agar dia (Kar Moi) pulang dengan selamat," katanya.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin semalam mengumumkan tujuh waris pesawat MH370 iaitu enam dari Malaysia dan seorang dari China menerima pampasan sebanyak US$50,000 seorang melalui insurans syarikat penerbangan.
Pada 8 Mac lepas pesawat boeing 777-200ER yang membawa 329 penumpang termasuk 12 anak kapal dan 153 warga China hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
-- BERNAMA
Kenyataan yang saya gariskan di atas sebenarnya membuktikan bahawa usaha mana mana pihak untuk memburuk burukkan kerajaan melalui peristiwa ini nyata tidak berhasil. Keluarga mangsa masih percaya bahawa kerajaan akan terus berusaha mencari MH 370.
Kebetulan, hari ini Pemangku Menteri Pengangkutan mengeluarkan kenyataan, seolah olah menjawab harapan keluarga Chew Kar Moi...
Usaha pencarian penerbangan MH370 yang hilang sejak lebih 100 hari lalu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara-negara seperti China dan Australia, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar).
Beliau berkata menerusi hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan dua negara terbabit serta negara Asean lain, operasi pencarian menjadi lebih mudah.
"Kita bagi jaminan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), China, Australia dan negara-negara Asean lain kepada anggota keluarga (penumpang dan kru MH370), kita bersama-sama mereka dalam usaha pencarian ini," katanya kepada pemberita hari ini
Dalam masa yang sama Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata hubungan kukuh antara negara terlibat dalam pencarian amat penting bagi menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan Malaysia dan negara terbabit.
Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang termasuk 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
Pesawat sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Pada 24 Mac, Najib mengumumkan berdasarkan analisis data satelit, penerbangan itu dipercayai "berakhir" di selatan Lautan Hindi. – Bernama, 14 Jun, 2014.
Harakah menyiarkan berita ini dan membiarkan para pembacanya menulis komen. Saya dapat melihat sebahagian daripada komen tersebut. Hampir segalanya politik. Memperlekeh, merendahkan Kerajaan.
Pembangkang seakan selalu mengharapkan malapetaka berlaku kerana melalui malapetaka mereka mengaut laba. Sebenarnya mereka salah perhitungan. Kerajaan sentiasa menjadikan apa juga masalah sebagai alat untuk berkhidmat kepada rakyat. Di sinilah letak bezanya.

