Polis Panggil Kit Siang Beri Keterangan
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Polis akan mengambil keterangan Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam tempoh terdekat ini, berhubung kenyataannya dalam sebuah laman portal The Rocket mengenai kematian Teoh Beng Hock.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menerima beberapa laporan berhubung kenyataan itu kerana ia didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan.
"Kata-kata beliau (Kit Siang) dalam artikel tersebut berbaur hasutan, kita akan siasat Kit Siang di bawah Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan juadah berbuka puasa kepada anggota trafik Kuala Lumpur, di Pulau Tiga Jalan Estafan, di sini, pada Isnin.
Kit Siang dalam satu artikelnya bertajuk 'Malaysians will not rest until justice is done for the killing of Teoh Beng Hock' pada Rabu lepas, mempersoalkan kenapa belum ada tangkapan terhadap pembunuh Beng Hock, Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor.
Khalid berkata, kenyataan Anggota Parlimen Gelang Patah itu cuba mempengaruhi rakyat bahawa kematian Beng Hock itu seolah-olah akibat dibunuh.
"Jangan cuba menimbulkan perkara yang tidak benar yang boleh menimbulkan kemarahan dan syak wasangka kepada orang ramai," katanya.
Pada 16 Julai 2009, Beng Hock, ditemui mati di lobi aras lima, Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Sementara itu, mengulas tentang seorang wanita warganegara Korea yang memakai baju tertera ayat Al-Quran di sebuah pasar raya di Ampang baru-baru ini, Khalid berkata pihaknya percaya wanita itu masih berada dalam negara.
"Kita dah panggil beberapa individu dipercayai kawannya untuk kita cari di mana wanita itu sekarang. Insya-Allah kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada," katanya.
Pada Sabtu lepas, laman sosial Facebook menyiarkan gambar dan catatan mengenai wanita itu sedang dimarahi seorang lelaki berketurunan Arab di sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang di sini kerana memakai pakaian yang tertera ayat-ayat Al-Quran.
Wanita itu dipercayai baru sahaja tiba di Malaysia, dipercayai membeli baju berkenaan ketika melancong di India.
-- BERNAMA
Ulasan
Ini berita yang agak menarik untuk dibaca. Bagaimanapun eloklah jika kita tidak berharap apa apa kerana biasanya tiada apa apa akan berlaku.
No comments:
Post a Comment